Taliban benarkan pelajar perempuan bersekolah

Taliban benarkan pelajar perempuan bersekolah

PELAJAR perempuan hanya diajar oleh guru wanita dan diletakkan berasingan dengan pelajar lelaki. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Kerajaan Taliban akan membenarkan semua kanak-kanak perempuan dari seluruh Afghanistan untuk pergi ke sekolah apabila sesi persekolahan bermula minggu depan.

Keputusan itu dicapai selepas beberapa bulan Taliban mempertimbangkan sama ada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan dibenarkan bersekolah atau melanjutkan pengajian ke universiti.

“Semua sekolah akan dibuka kepada pelajar perempuan dan lelaki di seluruh negara,” kata jurucakap Kementerian Pendidikan, Aziz Ahmad Rayan.

Namun, Aziz memaklumkan terdapat beberapa syarat untuk kanak-kanak perempuan hadir ke sekolah.

Antaranya termasuk pelajar perempuan akan diajar berasingan dengan pelajar lelaki dan mereka hanya boleh diajar oleh guru wanita.

“Di beberapa kawasan pedalaman, guru wanita adalah terhad, maka kami membenarkan guru lelaki yang lebih senior untuk mengajar murid perempuan.

“Tiada sekolah yang akan ditutup tahun ini. Sekiranya adalah sekolah yang ditutup, maka kementerian pendidikan bertanggungjawab untuk membukanya semula,” kata Aziz.

Kebenaran golongan wanita dan kanak-kanak perempuan bersekolah serta ke kolej merupakan antara permintaan utama komuniti antarabangsa kepada Taliban sejak mereka mentadbir Afghanistan pada Ogos tahun lalu.

Kebanyakan negara masih belum mengiktiraf kerajaan Taliban kerana ramai yang khuatir mereka tidak akan memperkasakan golongan wanita dan bersikap berat sebelah terhadap golongan tersebut.

Selain itu, Taliban juga didakwa bersikap buruk terhadap anggota tentera dan pegawai kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa kerajaan Taliban berikrar untuk menyiasat dakwaan tersebut dan menegaskan mereka tidak mahu ‘membalas dendam’ terhadap pihak yang berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.

Kali terakhir Taliban mentadbir Afghanistan pada 1996 sehingga 2001, kumpulan itu mengharamkan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan menghadiri sekolah dan bekerja.

Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pelajar perempuan.

Farzana, 17 tahun, memaklumkan dia sudah bersedia untuk memulakan persekolahan.

“Kami akan buktikan golongan wanita juga boleh menyumbang kepada negara dan untuk itu, kami perlu mendapat pendidikan.

“Kami tidak mahu kerajaan Afghanistan terus mundur dan rakyat hidup susah,” ujarnya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN