Suspek rogol kanak-kanak maut dibelasah dalam lokap

Suspek rogol kanak-kanak maut dibelasah dalam lokap

ANGGOTA polis melawat jenazah suspek yang meninggal ketika dalam tahanan di rumah keluarganya di Mamuju, Sulawesi Barat. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAMUJU: Seorang suspek kes rogol kanak-kanak maut selepas dipercayai dipukul beramai-ramai oleh kumpulan tahanan di dalam lokap.

Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku di Mamuju Tengah, Sulawesi Barat kelmarin.

Ketua Polis Mamuju Tengah, Amri Yudhi berkata, suspek ditahan di dalam lokap di balai polis kerana didakwa terlibat dalam kes merogol kanak-kanak perempuan.

Katanya, beberapa jam selepas ditahan, suspek ditemukan meninggal dunia.

“Ketika dibawa ke balai polis, suspek dalam keadaan sihat dan beberapa jam selepas itu, dia ditemukan meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati suspek dipukul beramai-ramai oleh tahanan di dalam lokap tersebut.

“Suspek sempat dibawa ke hospital, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia dan berdasarkan pemeriksaan, tubuhnya dipenuhi kesan lebam akibat dipukul,” katanya.

Amri turut memberitahu, polis sudah mengambil keterangan daripada 15 saksi mengenai kejadian berkenaan.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, seramai 12 saksi di percayai terlibat dalam insiden tersebut.

Dalam pada itu, keluarga mangsa juga sudah bertemu dengan pihak polis untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung insiden yang menimpa suspek.

Seorang keluarganya, Nela berkata, dia tidak menyangka suspek akan mati di dalam lokap.

“Sewaktu dia ditahan polis, keadaanya baik sahaja dan tidak lama selepas itu, kami terima panggilan memaklumkan suspek sudah meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, polis akan meneruskan siasatan menyeluruh berhubung kes tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN