SINGAPURA: Singapura akan mengenakan sekatan kewangan yang menyasarkan bank, entiti dan aktiviti di Rusia termasuk pengumpulan dana yang memanfaatkan kerajaan negara itu.
Kementerian Luar Singapura dalam kenyataan memaklumkan penyedia perkhidmatan token pembayaran digital akan dilarang daripada memudahkan transaksi yang boleh membantu mengelakkan sekatan kewangan tersebut.
Institusi kewangan di Singapura akan dihalang daripada berurusan dengan bank Rusia iaitu Syarikat Saham Bersama Awam VTB Bank, The Corporation Bank for Development and Foreign Economic Affairs Vnesheconombank, Promsvyazbank Public Joint Stock Company, Bank Rossiya serta bank pusat Rusia.
Institusi kewangan Singapura juga tidak boleh memudahkan sebarang transaksi yang melibatkan mata wang kripto.
Selain itu, jelas kenyataan tersebut, Singapura juga akan mengenakan sekatan eksport ke atas barangan `boleh digunakan secara langsung sebagai senjata yang mendatangkan bahaya kepada penduduk Ukraine’ serta membantu Rusia melancarkan serangan siber.
Jelasnya, permit operasi ke Rusia yang melibatkan semua barangan dalam senarai peralatan tentera di bawah Sistem Kawalan Barangan Strategik (SCGO) akan ditolak.
Usaha itu akan `mengekang’ keupayaan Rusia untuk meneruskan serangan di Ukraine dan pencerobohan siber.
Setakat ini, Singapura menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menyertai usaha antarabangsa dalam mengenakan sekatan terhadap Rusia disebabkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Sementara itu, Kementerian Luar Singapura menegaskan pencerobohan dilakukan Rusia ke atas Ukraine `melanggar’ Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Malah, jelas kementerian tersebut, tindakan Rusia itu juga secara jelas mencabul undang-undang antarabangsa.
“Singapura amat menghargai hubungan baik dengan Rusia namun kami tidak boleh menerima pencabulan Moscow terhadap kedaulatan dan integriti wilayah negara berdaulat lain.
“Bagi negara kecil seperti Singapura, ini bukan mengenai prinsip teori namun preseden yang berbahaya. Atas sebab itu, kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan Rusia ke atas Ukraine.
“Sekatan itu bertujuan mengekang keupayaan Rusia meneruskan pencerobohan secara meluas di Ukraine dan menjejaskan kedaulatannya,” jelasnya. – AGENSI