TAIPEI: Bekalan elektrik terputus di kebanyakan kawasan di seluruh Taiwan hari ini kerana masalah yang berlaku di loji jana kuasa.
Bekalan elektrik terputus selepas pukul 9 pagi ini di seluruh Taiwan, bermula dari Taipei sehingga bandar Taichung dan daerah Pintung.
Masalah itu berlaku ketika Presiden Tsai Ing-wen dijadualkan bertemu dengan bekas Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo.
Pejabat Presiden Taiwan menerusi kenyataan memaklumkan, bekalan elektrik di wilayah ini terputus kerana masalah yang berlaku di sebuah loji jana kuasa di selatan bandar Kaoshiung.
Bagaimanapun, bekalan elektrik di pejabat presiden tidak terjejas.
“Presiden memnta semua Kabinet dan agensi berkaitan supaya menjelaskan punca masalah ini berlaku dan menyambung semula bekalan elektrik dalam kadar segera,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pasukan polis membantu mengawal trafik selepas lampu isyarat tidak dapat berfungsi dan sejumlah premis perniagaan juga terjejas.
Selain itu, sistem pengangkutan awam juga terkesan, menyaksikan operasi tren dan kereta api dihentikan buat sementara waktu. – AFP











