JAKARTA: Jabatan Polis Jakarta Timur dan Pusat Makmal Forensik Polis melakukan siasatan terperinci di lokasi kejadian yang menyaksikan empat sekeluarga maut di dalam bilik selepas terkena renjatan elektrik yang dipercayai berpunca daripada alat pemanas air.
Menerusi siasatan yang dilakukan, pihak berkuasa menemukan kebocoran aliran elektrik pada sistem pemasangan alat tersebut.
“Kami temukan kebocoran arus elektrik pada sistem pemasangan alat pemanas air tersebut.
“Arus elektrik itu sepatutnya mengalir ke bumi, namun disebabkan masalah pemasangan, arus itu mengalir ke pemegang alat tersebut,” kata jurucakap polis, Karya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Katanya, disebabkan pemegang alat pemanas itu basah terkena air, maka mangsa terkena renjatan.
Insiden itu menyaksikan sepasang suami isteri, bayi mereka berusia 11 bulan dan pembantu rumah keluarga berkenaan maut di lokasi kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Pulogadung, Jakarta Timur.
Kejadian itu berlaku ketika si isteri memandikan anak mereka di bilik air sebelum mereka terkena aliran elektrik.
Suami yang mendengar jeritan itu terus pergi ke bilik air sebelum dia juga terkena renjatan elektrik.
Kemudian, pembantu rumah yang terdengar jeritan itu juga pergi bilik air untuk melihat apa yang berlaku sebelum dia turut terkena renjatan.
Insiden itu disedari oleh seorang lagi pembantu rumah keluarga tersebut.
Pembantu rumah itu kemudiannya menghubungi ambulans dan polis sebelum kesemuanya disahkan sudah meninggal dunia.