MOSCOW: Presiden Vladimir Putin mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai pemindahan segera pelajar negara itu yang terkandas di bandar Kharkiv, Ukraine.
Kremlin mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan.
Menerusi panggilan video, Putin berkata, beliau sudah mengarahkan tentera Rusia untuk memastikan warga India keluar dari zon konflik bersenjata dengan selamat dan pulang ke negara mereka.
Jelas kenyataan itu, Rusia juga sedang berusaha mengaturkan pemindahan kecemasan membabitkan sekumpulan pelajar warga India dari bandar Kharkiv melalui koridor kemanusiaan.
Semalam, pihak berkuasa Ukraine menyatakan tentera Rusia tiba di bandar timur itu dan pertempuran berlaku di sekitar jalanan.
Sementara itu, India menafikan dakwaan Rusia yang menuduh Ukraine menjadikan pelajarnya sebagai tebusan dan perisai manusia.
Kementerian Luar India memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung dengan warga India di Ukraine.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa pihak berkuasa Ukraine menahan sekumpulan pelajar India secara paksa.
“Sekumpulan pelajar itu dijadikan sebagai tebusan,” kata jurucakap kementerian, Igor Konashenkov dalam satu taklimat disiarkan di televisyen. – AGENSI