KYIV: Pihak berkuasa Mariupol terpaksa menangguhkan proses pemindahan orang awam dari bandar pelabuhan di Ukraine atas faktor keselamatan.
Menurut pegawai bandar itu, proses itu ditangguhkan selepas tentera Rusia didapati melanggar gencatan senjata.
“Oleh kerana, pihak Rusia tidak mematuhi gencatan senjata dan terus membedil bandar Mariupol dan sekitar kawasannya, proses pemindahan orang awam terpaksa ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Mariupol yang mempunyai kira-kira 450,000 penduduk dijadualkan memulakan proses evakuasi pukul 11 pagi (waktu tempatan) selepas tentera Rusia bersetuju melaksanakan gencatan senjata separa bagi membolehkan orang awam meninggalkan kawasan pertempuran itu.
“Kami meminta semua penduduk Mariupol untuk bersurai dan menuju ke tempat yang selamat.
“Maklumat mengenai proses pemindahan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Ketika ini, rundingan sedang dijalankan dengan Rusia untuk mewujudkan gencatan senjata dan memastikan koridor kemanusiaan yang selamat,” jelas kenyataan itu. – AFP