fbpx

Polis sita aset milik pempengaruh media sosial RM18.7 juta

DONI SALMANAN sering bergambar dengan kereta mewah bagi mengaburi mata orang ramai.-INSTAGRAM

JAKARTA: Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia menyita aset seorang lagi pempengaruh media sosial, Doni Muhammad Taufik bernilai 64 bilion rupiah (RM18.7 juta)  kerana terlibat dalam penipuan skim pelaburan Quotex. 

Lapor Tribunnews, Pengarah Siber badan itu, Asep Edi Suheri berkata, nilai itu melibatkan rampasan sebanyak 97 aset dan barang berharga milik suspek yang dikenali sebagai Doni Salmanan.

Jelasnya, rampasan itu melibatkan wang tunai 3.3 bilion rupiah (RM968,000), dua rumah di wilayah Candra Asih, Kota Baru Parahyangan dan Soreang Banjaran, Bandung. 

“Ada dua bidang tanah yang masing-masing mempunyai keluasan pertama 0.05 hektar di Candra Asih, manakala, tanah seluas 0.04 hektar di Soreang Banjaran.

“Pihak polis juga merampas 18 unit kenderaan motosikal pelbagai jenama dan warna seperti Ducati, Kawasaki, Honda dan Yamaha,” katanya. 

Menurut Asep, pihak polis menyita enam kenderaan seperti Lamborghini, Porsche, BMW, Toyota Fortuner dan Honda CRV. 

“Selain itu, kita juga menyekat empat akaun emel dan media sosial yang menggunakan Youtube King Salman dan pelaburan berkaitan Qoutex. 

“Kita juga menyita 27 dokumen seperti sijil hak milik, buku simpanan bank, kad debit ATM. Turut dirampas adalah 20 alat elektronik seperti telefon bimbit, kad sim, komputer riba dan IPAD,” katanya. 

Asep berkata, sebanyak 22 jenis pakaian dari pelbagai jenama mewah seperti Hermes, Dior dan Canali turut dirampas. 

Doni Salmanan membuat permohonan maaf selepas dirinya didakwa sebagai suspek utama kes penipuan pelaburan semasa sidang akhbar di Jakarta Selatan. 

“Hari ini saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia yang pernah terlibat dengan pelaburan binomo option, forex, matawang kripto dan sebagainya. 

“Saya harap masyarakat dapat memaafkan semua kesalahan saya,” katanya. 

LUAHAN MANGSA

Sejak skim pelaburan itu terbongkar, ramai mangsa tampil ke hadapan termasuk seorang wanita mengandung yang kehilangan berat badan 12 kilogram akibat terjerat pinjaman dalam talian. 

Ada juga mangsa yang kehilangan 380 juta rupiah (RM111,500) kerana terpedaya dengan skim penipuan yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda. 

Seorang penduduk di Medan menceritakan pengalamannya terjerat dengan Binomo dan Quotex selepas menonton video seorang pempengaruh di YouTube. 

Katanya, dia terpukau melihat janji keuntungan besar yang akan diterima dalam waktu cepat. 

“Saya pernah menang sekali dan terima sejuta rupiah (RM293). Namun, selepas itu terus rugi sehingga 250 juta rupiah (RM73,000). 

“Saya pernah letak deposit sebanyak 44 juta rupiah (RM12,909) dan semua simpanan saya hangus dan terpaksa jual kenderaan yang dimiliki,” luahnya. 

Sebelum ini, Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia turut merampas aset mencecah 57.2 bilion (RM16.7 juta) seorang pempengaruh, Indra Kesuma atau lebih dikenali sebagai Indra Kenz melibatkan kes penipuan pelaburan menerusi aplikasi Binomo. 

 

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!