WARSAW: Poland tidak mahu memikul tanggungjawab bersendirian dan mahu Amerika Syarikat (AS) turut sama berperanan sekiranya menerima ancaman Rusia.
Susulan itu, Poland akhirnya bersetuju untuk menghantar pesawat tempur MiG-29 ke Ukraine, dengan syarat dihantar ke pangkalan AS di Jerman terlebih dahulu.
Pentagon bagaimanapun menolak tawaran Poland untuk memberikan AS jet pejuang tersebut bagi kegunaan Ukraine.
Suasana tidak harmoni itu jarang berlaku antara sekutu negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi mengelak terjebak daripada perang lebih luas dengan Rusia.
Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, cadangan Poland Selasa lalu menimbulkan kebimbangan sekiranya jet itu berlepas dari Pangkalan Udara Ramstein AS di Jerman ke ruang udara konflik di Ukraine.
“Kami akan terus berunding dengan Poland dan sekutu NATO lain mengenai isu ini kerana berdepan cabaran logistik yang sukar.
“Kami tidak rasa cadangan Poland boleh dipertahankan kerana tidak jelas rasional substantif mengenainya,” katanya.
Sebarang keputusan menyediakan MiG-29 akan menjadi penguat semangat untuk Ukraine apabila serangan Rusia ke atas bandar-bandar menyebabkan bencana kemanusiaan lebih meluas.
Bagaimanapun, penghantaran jet pejuang itu akan meningkatkan risiko perang lebih luas.
Timbalan Setiausaha Negara AS, Victoria Nuland berkata, pengumuman Poland itu sangat mengejutkan.
“Sepanjang pengetahuan saya, kami tidak berunding terlebih dahulu mengenai cadangan menyerahkan pesawat tersebut kepada AS,” katanya.
Menurut Kementerian Luar Poland, pesawat tempur itu akan dihantar ke Ramstein tanpa melibatkan sebarang kos.
Pada masa sama, Poland meminta AS membekalkan pesawat terpakai dengan keupayaan operasi yang sepadan sebagai timbal balas.
Kerajaan Poland juga merayu kepada pemilik jet MiG-29 lain untuk mengikut jejak langkah mereka.
Bekas anggota blok-Soviet NATO, Bulgaria dan Slovakia difahamkan masih mempunyai jet pejuang buatan Soviet dalam tentera udara negara itu.