KYIV: Peperangan melibatkan Ukraine dan Rusia dijangka berakhir pada awal Mei ini selepas Rusia mula kehabisan sumber untuk melancarkan serangan.
Lapor BBC, perkara itu dilontarkan oleh Penasihat Ketua Kakitangan Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovich.
Perbincangan antara Kyiv dan Moscow setakat ini tidak membuahkan hasil yang banyak, kecuali persetujuan mewujudkan koridor kemanusiaan di bandar Ukraine yang dikepung.
Menerusi satu video, Arestovich menyatakan, masa yang tepat untuk peperangan berakhir adalah bergantung kepada berapa banyak sumber yang Kremlin sanggup korbankan.
“Saya fikir selewat-lewatnya pada Mei ini. Namun, kita sepatutnya adakan perjanjian damai lebih awal dan kita akan lihat situasi ini dari semasa ke semasa.
“Kita kini dalam persimpangan sama ada akan berlaku rundingan damai yang dibuat secepat mungkin atau berlaku pengunduran tentera dari kedua-dua pihak,” katanya dalam video tersebut.
Arestovich mengakui, biarpun selepas rundingan damai dipersetujui, pertempuran taktikal kecil masih boleh berlaku selama setahun.
Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, sekali gus menjadi pencerobohan terbesar terhadap negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.