BANGKOK: Seorang Ahli Parlimen negara ini dijatuhkan hukuman penjara selama 99 tahun atas kesalahan rasuah berkaitan projek perumahan.
Bagaimanapun, undang-undang Thailand hanya membenarkan hukuman penjara maksimum selama 50 tahun.
Lapor Thethaiger, Watana Muangsook yang pernah menyertai parti politik Pheu Thai didakwa dengan 11 kesalahan rasuah termasuk penyalahgunaan kuasa dan meminta rasuah.
Pada 2003, Watana terlibat dalam projek perumahan kos rendah Ua Athorn yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Thailand ketika itu.
Kabinet Thaksin Shinawatra meluluskan peruntukan berjumlah satu bilion baht (RM126 juta) bagi projek bernilai 2.5 bilion baht (RM316 juta).
Projek tersebut melibatkan pembinaan apartmen kos rendah dan perumahan di seluruh Thailand.
Setiap unit dijual dengan harga antara 400,000 hingga 700,000 baht (RM50,600-88,600).
Pada 2006, selepas tentera mengambil alih pentadbiran negara dan menumbangkan kepemimpinan Thaksin, Jawatankuasa Penilaian Aset Thailand menyiasat dakwaan terhadap salah laku kerajaan.
Jawatankuasa mendapati sebanyak 82.6 juta baht (RM10.4 juta) daripada kontraktor dibayar kepada Watana melalui akaun bank perniagaan milik Apichart Chansakulporn.
Kes itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan.
Pada 2016, suruhanjaya memutuskan untuk menghantar kes Watana dan 13 kes lain ke Pejabat Peguam Negara.
Watana berusia 64 tahun dan memulakan kerjaya sebagai peguam pada 1982.
Graduan Universiti Chulalongkorn itu menyertai politik pada 1996.










