BEIJING: Ketika Barat berlumba-lumba mengenakan sekatan terhadap Rusia kerana menyerang Ukraine, China pula mengambil pendekatan lain.
Kerajaan China meminta media negara ini melaporkan mengenai kebaikan Rusia dan menzahirkan rasa simpati terhadap negara itu yang didakwa menjadi ‘mangsa kerakusan Barat’.
Beijing sehingga kini tidak menyokong mahu pun mengutuk tindakan Rusia di Ukraine, sebaliknya menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai punca kepada konflik yang berlaku.
Penggunaan media dalam mempengaruhi persepsi rakyat negara ini terhadap Rusia dapat dilihat jelas apabila agensi berita Xinhua menyebut ‘operasi ketenteraan’ ketika Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
Selain itu, media China juga berulang kali menyiarkan artikel bahawa Rusia tidak mempunyai niat untuk menawan Ukraine seperti yang dicanang Barat sebelum ini.
Terdapat juga media China melaporkan mengenai ideologi Nazi yang didakwa masih subur di Ukraine bagi meraih sokongan rakyat negara ini kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Mana-mana agensi media yang membuat laporan mengenai Ukraine akan cuba mengelak menggunakan perkataan ‘pencerobohan’, sebaliknya menyifatkan situasi yang berlaku sebagai ‘konflik’ atau ‘pertempuran’. – AFP