LVIV: Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran masa depan Ukraine ‘mungkin tidak jelas’ apabila konflik antara kedua-dua negara itu semakin meruncing.
Putin menegaskan, sekiranya Ukraine masih meneruskan apa yang mereka lakukan ketika ini, negara itu bakal berdepan situasi sukar untuk tempoh yang panjang .
“Apabila masa depan sesebuah negara itu menjadi tidak jelas, maka semua pihak akan menanggung akibatnya, termasuk rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, Putin turut menyelar sekatan besar-besaran Barat yang dikenakan terhadap Rusia.
“Kesemua sekatan yang dikenakan terhadap Rusia ketika ini sama seperti mengisytiharkan perang dan mujurlah kami belum sampai ke tahap itu,” ujarnya.
Proses pemindahan penduduk awam dari bandar Mariupol di selatan Ukraine tidak berjaya apabila Kyiv dan Moscow saling tuduh menuduh pasukan tentera masing-masing melancarkan serangan.
Sebelum itu, kedua-dua negara bersetuju melakukan gencatan senjata separa di dua bandar iaitu Mariupol dan Volnovakha bagi membolehkan penduduk berpindah ke tempat selamat.
Namun, beberapa jam selepas itu, situasi dilaporkan semakin teruk apabila kedua-dua pasukan tentera saling bertempur dan berbalas tembakan.
Keadaan itu menyebabkan proses pemindahan penduduk ditangguhkan dan mereka diarahkan supaya berlindung di mana-mana tempat yang selamat.
Dalam pada itu, rundingan ketiga antara delegasi Rusia dan Ukraine dijangka berlangsung hari ini.
Dua rundingan sebelum ini menemukan kegagalan apabila Ukraine dan Rusia masing-masing tidak mahu bertolak ansur. – AP










