LONDON: Satu video memaparkan seorang lelaki warga Britain sedang mengisi beberapa botol minyak masak ke dalam tangki keretanya, menjadi tular di laman media sosial.
Lapor Daily Mail, kejadian itu berlaku ketika rakyat negara itu bergelut dengan kenaikan kos pengisian petrol berikutan harga bahan api mencecah paras tertinggi.
Video itu dirakam di sebuah tempat letak kereta di luar pasar raya Tesco di Congleton, Cheshire.
Dalam video tersebut, lelaki itu dilihat berada di bahagian belakang kereta bersama sebuah troli yang penuh dengan botol minyak masak sayuran.
Lelaki itu kemudian membuka botol minyak masak yang dibelinya dari pasaraya tersebut dan menuangnya satu demi satu ke dalam kereta, sambil diperhatikan oleh orang ramai.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial bernama Mark Rainford mengakui merakam video berkenaan.
“Saya merakamnya ketika sedang berjalan melepasi lelaki itu untuk menuju ke kereta saya.
“Saya melihat lelaki itu membuka semua penutup botol minyak masak dan mula menuangkannya ke dalam kereta tersebut,” katanya.
Tindakan lelaki itu yang menggunakan minyak masak mendapat pelbagai reaksi warganet termasuk ada yang memuji kepintarannya.
Bagaimanapun, penggunaan minyak masak sebagai pengganti bahan api terbukti sangat berisiko dan boleh menyebabkan kerosakan pada enjin.