MOSCOW: Lebih 4,300 orang dilaporkan ditahan dalam tunjuk perasaan antiperang di seluruh Rusia.
Perkara itu diumumkan oleh kumpulan hak asasi manusia dan pihak berkuasa Rusia.
Lapor agensi berita Ria, Kementerian Dalam Negeri Rusia memaklumkan kira-kira 1,700 orang ditahan di Moscow.
Menurut kumpulan hak asasi OVD-Info, penahanan itu berlaku di 53 bandar di Rusia.
Walaupun protes semakin terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun masih terdapat banyak perhimpunan diadakan di seluruh Rusia sejak insiden pencerobohan ke atas Ukraine.
Jelas OVD-Info, lebih 10,000 orang ditahan dalam tunjuk perasaan sepanjang 11 hari lalu.
“Kita sedang menyaksikan protes yang agak besar hari ini dan jarang melihat jumlah penahanan seperti itu di beberapa bandar Siberia,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin pembangkang, Alexei Navalny menggesa rakyat Russia melakukan protes membantah pencerobohan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine.
Navalny berkata, Russia tidak seharusnya menjadi ‘negara pengecut’.
Bagaimanapun, menurut kumpulan hak asasi manusia, beberapa undang-undang baharu yang dilaksanakan menyukarkan penduduk melakukan protes di Rusia.