TOKYO: Pemimpin negara anggota Dialog Keselamatan Quadrilateral (QUAD) dari Amerika Syarikat (AS), India, Australia dan Jepun semalam bersetuju krisis di Ukraine tidak akan dibenarkan berlaku di Indo-Pasifik.
Perbincangan secara maya melibatkan empat negara anggota itu berlangsung susulan peningkatan kebimbangan isu Taiwan yang didakwa China sebagai wilayahnya.
Berikutan itu, tahap berjaga-jaga dipertingkatkan sejak pencerobohan Rusia di Ukraine kerana Beijing dikhuatiri mengambil kesempatan ketika semua pihak menumpukan perhatian terhadap Ukraine.
“Kami bersepakat bahawa perubahanunilateral kepada status quo dengan peperangan seperti ini tidak seharusnya berlaku di rantau Indo-Pasifik.
“Kami juga bersetuju perkembangan ini menjadikannya lebih penting untuk menjadikan Indo-Pasifik sebagai rantau bebas dan terbuka,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat bersama Presiden AS, Joe Biden, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Morrison dalam kenyataan mengulangi perkara itu dengan menegaskan pemimpin QUAD tidak boleh membenarkan situasi sama di Ukraine berlaku di rantau Indo-Pasifik.
Sementara itu, hanya India yang tidak mengkritik serangan Rusia di Ukraine.
Rusia merupakan pembekal utama senjata kepada tentera India. – REUTERS











