KYIV: Pegawai bandar Mariupol memaklumkan pihaknya akan mula memindahkan orang awam dari bandar pelabuhan itu di Ukraine.
Langkah itu dilaksanakan selepas tentera Rusia mengisytiharkan gencatan senjata separa untuk membolehkan orang awam meninggalkan bandar tersebut.
Mariupol yang mempunyai kira-kira 450,000 penduduk memulakan proses evakuasi pada pukul 11 pagi (waktu tempatan).
Perkara itu diumumkan oleh majlis perbandaran Mariupol dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial.
“Kami memohon semua penduduk yang memandu meninggalkan bandar untuk turut sama menyumbang kepada proses pemindahan orang awam ini.
“Bawalah penduduk lain bersama anda dan kumpulkan sebanyak mungkin kenderaan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, proses pemindahan orang awam itu akan berlangsung selama beberapa hari bagi membolehkan seluruh penduduk Mariupol dibawa keluar dari bandar tersebut.
Dalam kenyataan itu, pegawai bandar juga menasihati penduduk yang memandu kenderaan persendirian untuk mematuhi laluan pemindahan yang ditetapkan.
“Mereka dilarang sama sekali keluar daripada laluan pemindahan itu,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, beberapa bas akan bertolak dari tiga lokasi di bandar tersebut untuk membantu orang ramai meninggalkan kawasan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk berkata, kira-kira 200,000 orang akan dibawa keluar dari bandar tersebut. – AFP