PYONGYANG: Korea Utara didakwa melancarkan peluru berpandu balistik ke dalam Laut Timur, hari ini.
Tentera Korea Selatan dan pihak berkuasa Jepun mengesahkan pelancaran peluru berpandu itu, beberapa hari sebelum pilihan raya presiden Seoul diadakan.
Lapor Al Jazeera, Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi berkata, peluru berpandu itu bergerak pada ketinggian maksimum 550 kilometer (km) dan jarak kira-kira 300km.
Katanya, ujian senjata Pyongyang yang dilancarkan secara kerap pada tahun ini merupakan satu ancaman kepada rantau.
Malah, Kishi menyifatkan tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali.
Pada Januari lalu, Pyongyang menguji beberapa peluru berpandu merangkumi hipersonik dan balistik jarak sederhana.
Sementara itu, tentera Korea Selatan memaklumkan pihaknya mengesan `peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke Laut Timur dari kawasan Sunan sekitar pukul 8.48 pagi (waktu tempatan)’.
Majlis Keselamatan Korea Selatan mengecam pelancaran peluru berpandu balistik secara berulang kali yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Blue House menerusi kenyataan menegaskan tindakan itu bertentangan dengan keamanan di Semenanjung Korea dan masyarakat antarabangsa.










