PESHAWAR: Angka korban insiden letupan di sebuah masjid di sini meningkat kepada 56 orang dengan 194 cedera dan kebanyakannya parah.
Terdahulu, pihak berkuasa kesihatan melaporkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 56 cedera dalam insiden tersebut.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap sebuah hospital di sini, Muhammad Asim Khan.
“Kami sudah isytiharkan darurat di hospital akibat insiden itu.
“Kami menerima banyak mangsa yang terkorban dan cedera akibat letupan tersebut,” katanya.
Kejadian itu berlaku ketika orang ramai membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.
Menurut pihak berkuasa, insiden itu bermula apabila kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah polis di luar masjid tersebut dan mereka saling berbalas tembakan.
Selepas itu, kumpulan berkenaan masuk ke dalam masjid dan meledakkan bahan letupan.
Setakat ini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom tersebut. – AFP











