LONDON: Jangkitan varian Omicron dilaporkan lebih lama berbanding varian terdahulu dan keadaan itu sekali gus menyebabkan mengapa Omicron lebih mudah disebarkan serta dijangkiti.
Pakar virologi dari Universiti Groningen di Belanda, Dr. Marjolein Irwin-Knoester berkata, pembawa varian Omicron kebiasaannya dijangkiti dua hari sebelum mula menunjukkan gejala sehingga tujuh hari kemudian.
Katanya, langkah kebanyakan negara yang mengurangkan tempoh kuarantin atau menarik balik peraturan tersebut tidak akan mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.
Namun, disebabkan Omicron tidak membawa gejala berat seperti varian terdahulu, langkah tersebut ‘mungkin diterima buat masa ini’ oleh kebanyakan negara.
Knoester membuat pendedahan itu selepas England melonggarkan peraturan kuarantin, menyaksikan individu positif Covid-19 tidak perlu lagi menjalani kuarantin dan bebas melakukan aktiviti harian.
Beberapa negara di luar United Kingdom (UK) pula memendekkan tempoh kuarantin sehingga empat hari seperti di Norway.
Jelas Knoester, tempoh kuarantin selama tujuh hari sepatutnya menjadi langkah selamat bagi semua kes Covid-19 atau sekurang-kurangnya lima hari dan tidak kurang daripada itu.
“Berdasarkan bukti yang dikaji dan diperolehi, saya tidak yakin varian Omicron akan lebih cepat hilang daripada badan individu yang dijangkiti berbanding varian lain.
“Sehubungan itu, adalah penting untuk golongan tersebut menjalani tempoh kuarantin lebih lama dengan tujuh hari paling minimum,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.
Selain itu, beliau turut mencadangkan individu yang sudah dijangkiti Omicron, namun masih mengalami batuk dan selesema perlu menyambung kuarantin selama 10 hingga 14 hari lagi.
Malah katanya, individu yang terjejas teruk akibat jangkitan Omicron dan mereka yang dijangkiti mempunyai sistem imun lemah boleh menularkan varian tersebut dalam tempoh yang lebih lama.