Jambatan gantung hubungkan Eropah dan Asia, dibuka - Utusan Malaysia

Jambatan gantung hubungkan Eropah dan Asia, dibuka

RECEP Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Jambatan Canakkale 1915 di Canakkale, barat laut Turki. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan merasmikan pembukaan sebuah jambatan gantung besar yang merentasi Selat Dardanelles di negara itu.

Ia merupakan sebahagian siri projek infrastruktur mega yang diberi keutamaan oleh Erdogan sepanjang dua dekad memerintah.

Jambatan Canakkale 1915 yang menghubungkan pantai Eropah dan Asia di negara itu dibina oleh firma Turki dan Korea Selatan dengan pelaburan sebanyak AS$2.8 bilion (RM11.7 bilion).

Ia mempunyai laluan paling panjang iaitu jarak antara kedua-dua menara, dalam mana-mana jambatan gantung di dunia.

“Projek ini akan terus memberi keuntungan kepada Turki untuk tahun-tahun akan datang.

“Malah, projek ini amat penting dengan mampu meletakkan negara kita di hadapan dalam aspek pelaburan, tenaga kerja dan eksport,” katanya pada majlis perasmian itu.

Jambatan gantung itu dirasmikan sempena ulang tahun kemenangan tentera laut Uthmaniyyah 1915 melawan pasukan tentera Perancis dan British di Dardanelles semasa Perang Dunia Pertama.

Projek-projek mega sedemikian menjadi teras kepada pencapaian Erdogan sejak Parti AK mula berkuasa pada tahun 2002.

Tahun lalu, Erdogan melancarkan projek terusan Istanbul bernilai AS$15 bilion (RM62.9 bilion) yang bertujuan meringankan tekanan di Selat Bosphorus yang sibuk.

Dalam pada itu, Erdogan berkata, harga yang dikenakan bagi kenderaan penumpang menggunakan jambatan gantung itu adalah sebanyak AS$13.50 (RM56.60).

Kerja-kerja projek jambatan di Dardanelles bermula pada Mac 2017 dengan lebih 5,000 pekerja terlibat dalam pembinaannya.

Jambatan gantung sepanjang 4.6 kilometer itu merupakan projek jambatan keempat yang menghubungkan pantai Eropah dan Asia di Turki, bersama tiga lain yang dibina sebelum ini di Istanbul.

Kenderaan yang melalui antara Anatolia dan semenanjung Gallipoli terpaksa menyeberangi Dardanelles menerusi perjalanan feri selama sejam termasuk masa menunggu boleh mencecah sehingga lima jam.

Kini, perjalanan tersebut hanya akan mengambil masa kira-kira enam minit. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN