BAITULMUQADDIS: Israel mencuba nasib untuk menjadi orang tengah bagi meredakan konflik yang berlaku antara Ukraine dan Rusia.
Usaha itu dilakukan ketika Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengadakan pertemuan selama tiga jam dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Moscow.
Pertemuan itu merupakan yang pertama melibatkan pemimpin luar dengan Presiden Rusia sejak negara itu menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
Dalam pertemuan itu, Bennett dilihat memilih ‘jalan selamat’ apabila tidak mahu menjadi seperti negara Barat lain yang mengkritik Rusia.
Sebaliknya, beliau menekankan jalinan hubungan yang baik antara Israel dengan Rusia dan Ukraine.
Hal ini mungkin disebabkan Bennett menyedari kehadiran sejumlah besar tentera Rusia di Syria.
Bekas Duta Israel ke Washington, Michael Oren menyifatkan tindakan Bennett itu sebagai ‘berani namun berisiko’.
“Semuanya bergantung kepada Putin dan Bennett hanya memberi ‘jalan’ untuk Rusia melakukannya,” katanya. – AFP