KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dilihat cuba menakut-nakutkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bahawa negara anggota pakatan itu akan menjadi sasaran Rusia selepas ini.
Zelenskyy memberi amaran demikian selepas Rusia melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Ukraine berhampiran sempadan Poland.
Walaupun sebahagian besar barat Ukraine terhindar setakat ini, serangan udara Rusia yang bermula Sabtu lalu membawa konflik jauh ke barat negara itu.
Seramai 35 orang terkorban dan 134 lagi cedera dalam serangan udara di pangkalan tentera berhampiran Yavoriv, di luar bandar Lviv, berdekatan dengan sempadan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan NATO Poland.
“Sekiranya anda tidak menutup ruang udara negara kami maka sudah pastinya peluru berpandu Rusia jatuh di wilayah anda, di wilayah NATO, di kediaman penduduk NATO,” katanya.
Zelenskyy berkata demikian dalam satu video yang menggesa NATO mengenakan zon larangan terbang di ruang udara negaranya.
Washington dan sekutu EU menghantar dana dan bantuan ketenteraan ke Ukraine serta mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia.
Zelenskyy terus menggesa rakan sejawat negara lain untuk tampil melakukan lebih banyak lagi.
“Tahun lalu, saya memberi amaran kepada pemimpin NATO bahawa jika sekatan ketat tidak dikenakan ke atas Persekutuan Rusia, mereka akan berperang dan jangkaan kami adalah betul,” katanya.
Pertempuran terbaharu di pinggir bandar Kyiv mengakibatkan seorang wartawan warga Amerika Syarikat (AS) terbunuh sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.
“Kyi kini sudah terkepung,” kata penasihat presiden, Mykhailo Podolyak menerusi ciapan di Twitter.
Menurut beliau, bandar itu kini sedang bersiap sedia dari segi pertahanan.
Sementara itu, pegawai di Mariupol memaklumkan angka kematian di bandar pelabuhan strategik itu mengalami kekurangan di tengah-tengah kepungan berpanjangan.
Katanya, jumlah itu sudah mengatasi 2,000 kes.
Pelbagai usaha diteruskan untuk mendapatkan bantuan ke Mariupol yang mana agensi bantuan mendakwa sedang menghadapi malapateka kemanusiaan.
Menurut seorang pegawai bandar, sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang menuju ke bandar itu terpaksa berpatah balik selepas tentera Rusia tidak berhenti membedil kawasan itu.
Majlis perbandaran memaklumkan seramai 2,187 penduduk terkorban dalam tempoh beberapa hari dalam serangan tanpa henti Rusia.
“Tentera Rusia menawan bandar sebagai tebusan dengan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai yang sebenar,” kata Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov.
Zelenskyy pula mendakwa Moscow menyekat dan menyerang konvoi kemanusiaan.
Semalam, pemimpin itu berkata, seramai 125,000 orang lagi berjaya dipindahkan di seluruh Ukraine.
“Tentera Rusia membedil bandar itu walaupun rundingan rasmi sedang berlangsung. Mereka tidak mempunyai maruah dan belas kasihan,” kata Reznikov.
Seorang penasihat kepada Zelenskyy dan jurucakap Kremlin mengesahkan rundingan antara kedua-dua pihak masih belum membawa hasil kepada gencatan senjata.
MELUASKAN SASARAN
Tentera Rusia sebelum ini memberi tumpuan di kawasan timur dan selatan Ukraine.
Namun, sejak kebelakangan ini, pasukan Rusia mara ke bahagian tengah negara itu dan menyerang bandar Dnipro serta kini ke barat dengan membedil pangkalan tentera di Yavoriv berhampiran Poland.
Jurucakap Pentagon, John Kirby menegaskan Rusia secara jelas meluaskan sasaran mereka dari perspektif serangan udara. – AFP