Dunia mahu Ukraine, Rusia berdamai

Dunia mahu Ukraine, Rusia berdamai

SEORANG wanita memegang sepanduk ‘Hentikan perang’ dalam protes serangan Rusia terhadap Ukraine di Santiago, Chile. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China dan Amerika Syarikat (AS) menggesa rundingan secara langsung dilakukan segera antara Ukraine dan Rusia ketika konflik antara kedua-dua negara itu terus memuncak.

Gesaan itu merupakan yang pertama yang disuarakan oleh kedua-dua negara itu sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.

China sebelum ini enggan mengkritik serangan yang dilakukan Rusia, sebaliknya menekankan supaya kedua-dua negara mengambil jalan penyelesaian konkrit.

Menteri Luar China, Wang Yi memberitahu kepada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bahawa Beijing menggalakkan rundingan langsung antara Rusia dan Ukraine.

“Kami berharap pertempuran antara kedua-dua negara berakhir segera dan krisis kemanusiaan skala besar-besaran juga dapat dielak.

“Biarpun langkah itu (rundingan) berdepan kesukaran, namun tidak salah untuk terus mencuba,” katanya
seperti yang dilapor Reuters.

Blinken menerusi jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, dunia ketika ini ‘memerhati negara mana yang memperjuangkan kebebasan dan kedaulatan.

Namun, kelantangan Blinken tidak dipandang China apabila Wang Yi sehingga kini masih tidak mahu merujuk krisis yang berlaku di Ukraine sebagai peperangan.

Beliau berulang kali menyifatkan konflik yang berlaku adalah rumit dan saling berkaitan dengan kepentingan keselamatan melibatkan semua parti.

Sebaliknya, Wang Yi menegaskan AS, Pertubuhan Perjanjian Atlantin Utara (NATO dan Kesatuan Eropah (EU) perlu membuat penilaian menyeluruh mengenai kesan mengenakan sekatan besar-besaran terhadap Rusia.

TURKI TERUS PANTAU

Dalam pada itu, Turki dan AS akan saling ‘memantau dan menilai’ keadaan semasa di Ukraine bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meredakan konflik yang berlaku.

Lapor AFP, Turki berkongsi sempadan maritim dengan Ukraine dan Rusia di Laut Hitam dan menjalin hubungan baik dengan kedua-dua negara.

Ankara menyelar tindakan Rusia di Ukraine, namun turut membantah sekatan yang dikenakan terhadap Moscow.

Menerusi kenyataan bersama antara Timbalan Menteri Luar Negara Turki, Sedat Onal dan Timbalan Setiausaha Negara AS, Wendy Sherman, kedua-dua negara menyokong kedaulatan Ukraine.

“Pemantauan dan penilaian ini penting untuk menguruskan pelbagai kesan akibat konflik dan menyokong penyelesaian diplomatik.

“Biarpun hubungan AS dan Turki sebelum ini tidak begitu baik, namun kami yakin masih ada agenda positif yang luas untuk diterajui bersama,” jelas kenyataan itu.

Turki pada bulan lalu menutup Selat Bosphorus dan Dardanelles yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Hitam dengan kapal perang.

Sekatan itu secara tidak langsung mengehadkan laluan sejumlah kapal Rusia.

PELAN PM BRITAIN

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pula mempunyai rancangan untuk ‘memastikan serangan Rusia di Ukraine gagal’.

Beliau berkata, pelan tindakan antarabangsa itu akan mengandungi enam langkah untuk menggagalkan usaha Rusia menawan Ukraine.

“Sejak Rusia menyerang Ukraine sehingga kini, tiada satu pun negara yang menyokong tindakan tersebut.

“Presiden Rusia, Vladimir Putin Akan menemukan kegagalan kali ini,” kata Johnson yang dipetik Downing Street.

Johnson bakal bertemu dengan pemimpin Kanada dan Belanda hari ini bagi berbincang mengenai pelan
tindakan tersebut.

Antara enam langkah dalam pelan itu adalah:
1) Pembentukan pakatan kemanusiaan antarabangsa untuk Ukraine.
2) Memperkasakan pertahanan diri tentera Ukraine.
3) Meningkatkan sekatan terhadap Rusia.
4) Usaha diplomatik bersepadu untuk redakan konflik.
5) Kempen mengukuhkan keselamatan kawasan Eropah-Atlantik.
6) Menghentikan semua tindakan Rusia di Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN