MEXICO CITY: Dua orang maut dan 19 lagi cedera dalam satu letupan yang berlaku di sebuah restoran tepi pantai di pusat peranginan Playa del Cayman di Carribean, Mexico.
Menurut pihak berkuasa, letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.
Katanya, setakat ini, warganegara mangsa masih belum diketahui.
Sepasukan tentera mengawal lokasi letupan yang menyebabkan kerosakan teruk pada restoran di salah sebuah destinasi pelancongan paling popular di Mexico.
“Pasukan kecemasan tiba di tempat kejadian untuk membantu mangsa,” kata pejabat pendakwa raya di Quintana Roo yang menempatkan Playa del Carmen, menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, siasatan mengenai letupan itu sudah dilancarkan.
Insiden itu merupakan satu lagi halangan kepada usaha Mexico untuk menarik kembali pelancong berikutan pandemik Covid-19 dan peningkatan keganasan di pusat peranginan Carribean termasuk di Playa del Carmen, Cancun dan Tulum.
Sabtu lalu, seorang ahli perniagaan warga Britain maut ditembak di Playa del Carmen. – AFP










