WASHINGTON: Satu kajian baharu Israel yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan New England mendapati suntikan dos keempat vaksin Covid-19 mRNA hanya mempunyai ‘kesan yang rendah’ kepada golongan lebih muda dan dewasa yang sihat.
Kajian melibatkan 270 petugas kesihatan di Pusat Perubatan Sheba, Tel Aviv, yang sudah menerima suntikan penggalak kedua, sama ada vaksin Pfizer atau Moderna iaitu empat bulan selepas menerima suntikan ketiga Pfizer.
Peserta kemudian dibahagikan kepada dua peserta dalam kumpulan kawalan dengan penerima tiga suntikan Pfizer, melibatkan umur antara 50 hingga 60-an.
Secara keseluruhan, dos keempat didapati selamat dan menambah antibodi peneutral penerima bagi menghalang koronavirus menjangkiti sel.
Antibodi itu meningkat ke tahap yang setanding dengan penerima dos ketiga, sebelum tahap antibodi menurun mengikut peredaran masa.
Hasil penyelidikan mendapati individu yang menerima suntikan keempat Pfizer adalah 30 peratus berkemungkinan kurang mendapat jangkitan berbanding penerima dos ketiga.
Manakala, penerima suntikan Moderna adalah 18 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.
Kajian dibuat ketika varian Omicron semakin merebak di Israel dan didapati dos keempat tidak memberikan perlindungan tambahan terhadap jangkitan.
Bagaimanapun, kajian itu hanya melibatkan sebilangan kecil peserta dan bukan percubaan secara rawak.
Hasilnya hanya menunjukkan manfaat kecil daripada dos tambahan.
Kajian diketuai oleh Gili Regev-Yochay yang merumuskan kelebihan tiga dos vaksin terhadap koronavirus mencapai sasaran tindak balas imun.
Jelasnya, dos penggalak tambahan hanya memulihkan imuniti yang berkurangan dan tidak membawa ke tahap lebih tinggi.
“Kami lihat keberkesanan vaksin adalah rendah terhadap jangkitan wabak dalam kalangan petugas kesihatan.
“Oleh itu, vaksinasi keempat bagi golongan petugas yang muda dan sihat hanya memberikan faedah yang kecil,” katanya.
Pakar luar berpandangan penemuan kajian itu menunjukkan keperluan untuk membangunkan vaksin baharu.
Pakar Virologi Klinikal, University of Leicester, Julian Tang berkata, sekiranya Omicron terus tersebar dan dunia masih menggunakan vaksin Covid-19 generasi-pertama, manfaat kepada golongan lebih muda adalah sedikit.
“Suntikan dos penggalak keempat lebih bermanfaat kepada golongan berusia dan terdedah dengan risiko jangkitan.
“Kita perlukan vaksin Covid-19 baharu yang direka khas menentang Omicron, sekiranya kita mahu meningkatkan tahap perlindungan terhadap golongan paling berisiko dijangkiti,” jelasnya. – AFP