BEIJING: China merekodkan sebanyak 3,393 kes jangkitan harian baharu Covid-19 hari ini, sekali gus menjadi yang tertinggi pernah dicatatkan sejak dua tahun lalu.
Peningkatan kes jangkitan di seluruh negara menyaksikan pihak berkuasa menutup sekolah di Shangjai dan melaksanakan perintah berkurung di beberapa bandar, ketika 19 wilayah berdepan penularan Omicron dan Delta.
Bandar Jilin diarahkan menjalani perintah berkurung separa dengan banyak kawasan perumahan ‘dikunci’.
China sehingga kini masih mengekalkan polisi sifar Covid-19 menerusi pelaksanaan perintah berkurung, sekatan perjalanan dan ujian saringan besar-besaran jika kemunculan kluster jangkitan baharu.
Penularan varian Omicron yang mudah berjangkitan dan tidak menunjukkan gejala berat menyukarkan usaha China untuk mencapai misi sifar Covid-19.
Penduduk bandar Jilin sudah pun menjalani ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran sebanyak enam kali selepas lebih 500 kes Omicron direkodkan sebelum ini.
Satu lagi bandar berhampiran Jilin, Changchun yang dihuni kira-kira sembilan juta penduduk menjalani perintah berkurung pada Jumaat lalu.
Situasi itu menyaksikan Datuk Bandar Jilin dan Ketua Kesihatan Chanchun dipecat dari tugas masing-masing.
Pihak berkuasa memaklumkan, peningkatan kes di kedua-dua bandar itu disebabkan oleh pemimpin yang gagal mengawal pergerakan penduduk. – AFP










