LONDON: Pada minggu ini, warga emas dan golongan berisiko di Britain ‘dialu-alukan’ untuk mengambil suntikan penggalak keempat vaksin Covid-19 sebagai perlindungan berterusan daripada virus maut itu.
Namun, belum pun golongan berkaitan menyelesaikan dos tersebut, Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid memberi gambaran bahawa dos penggalak kelima mungkin akan diberi dalam tempoh terdekat.
Katanya, program vaksinasi di negara ini akan diperluaskan dan tidak akan terhenti begitu sahaja.
Beliau memberi gambaran itu ketika ditanya media tempatan sekiranya terdapat kemungkinan pemberian dos penggalak kelima.
“Mungkin ada (dos penggalak kelima), terutamanya untuk penduduk yang berusia 50 tahun ke atas.
“Namun, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan dan kita akan menelitinya sebaik mungkin,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.
Penduduk berusia 75 tahun ke atas dan golongan pesakit yang mempunyai sistem imun lemah dijadualkan mula menerima suntikan dos penggalak keempat hari ini bagi meningkatkan tahap imuniti masyarakat.
Jumlah itu melibatkan lima juta penduduk dengan 600,000 dijangka menerima suntikan dos penggalak keempat dalam minggu ini.
Sekiranya m ditawarkan satu lagi dos suntikan pada musim luruh ini, maka ia bakal menjadi dos kelima buat mereka.
Dalam pada itu, Javid memaklumkan, ‘tahap kebimbangam kerajaan Britain mengenai penularan Covid-19’ masih belum berubah sejak dua minggu lalu biarpun kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital mula meningkat.
Katanya, jumlah itu masih di bawah peringkat kemuncak dan jangkaan mereka.
Sementara itu, Javid turut menggesa penduduk di negara ini supaya menganggap Covid-19 sama seperti penyakit lain yang berjangkit dan sentiasa peka dengan kesihatan diri, terutamanya ketika bergejala.
“Kita akan hidup dengan Covid-19 dan itu membuatkan kita perlu peka dengan kesihatan diri, asingkan diri sekiranya bergejala,” ujarnya.