MOSCOW: Rusia dituduh melakukan ‘penculikan dan menghantar ribuan penduduk dari Mariupol ke kem buruh paksa’ di negara ini.
Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan Britain, Liz Truss berkata, beliau terkejut dengan laporan berita yang belum disahkan itu sehingga mencetuskan perbandingan dengan zaman Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Sekiranya laporan itu benar, beliau mengutuk tindakan ‘ganas Rusia’ di bandar pelabuhan itu dan merayu supaya Presiden Rusia, Vladimir Putin dipertanggungjawabkan.
“Saya terperanjat dengan tindakan ganas tentera Rusia di Mariupol termasuk serangan di sekolah yang melindungi orang awam serta penculikan warga Ukraine.
“Putin mengambil jalan keluar dan tindakan terdesak selepas objektifnya tidak tercapai.
“Putin dan rejim pentadbirannya akan bertanggungjawan sepenuhnya,” ciapnya dalam Twitter.
Mariupol dihujani serangan udara dan pertempuran sengit dengan tentera Rusia sehingga penduduk di bandar itu tidak mempunyai ‘jalan keluar’.
Putin juga dilaporkan mengarahkan sekolah seni yang menempatkan 400 penduduk dibom.
Rusia juga menggesa tentera Ukraine yang berada di bandar itu supaya menyerah kalah dan Mariupol dijangka jatuh ke tangan pihak lawan pada bila-bila masa.
Ahli Parlimen Ukraine, Inna Sovsun mendakwa Moscow menghantar rakyat Ukraine ke ‘bahagian yang terletak jauh di Rusia’ dengan dipaksa bekerja tanpa bayaran.
Katanya, berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Datuk Bandar, golongan wanita dipaksa menjadi hamba buruh.
“Logik Rusia sekarang adalah logik Kesatuan Soviet dan Nazi Jerman.
“Mereka dihantar ke ‘kem tapisan’ dan ditempatkan di tempat yang sangat jauh di Rusia serta dipaksa menandatangani surat perjanjian yang menyatakan mereka akan tinggal di kawasan itu selama dua ke tiga tahun tanpa sebarang bayaran,” katanya kepada Times Radio. – AGENSI