LONDON: Britain digambarkan bakal bertindak sebagai penjamin keselamatan masa depan Ukraine dalam sebahagian daripada perjanjian damai dengan Rusia.
United Kingdom (UK) dan ‘rakan sekutu antarabangsa’ dikatakan mengadakan perbincangan bagi menjamin keselamatan Ukraine sekiranya tentera Rusia berundur serta kemungkinan tindakan pencerobohan pada masa depan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin pula mendedahkan ‘permainan akhirnya’ yang menuntut supaya Ukraine melakukan gencatan’ senjata dan menyerahkan wilayah timur Ukraine kepada Rusia.
Sebagai balasan, Ukraine mahu negara-negara Barat bertindak sebagai penjamin yang boleh campur tangan sekiranya berlaku pencerobohan lagi.
Cadangan itu muncul apabila Britain dalam proses membeli sistem pertahanan bernilai 500 juta pound (RM2.76 bilion) dari Amerika Syarikat (AS) yang mampu mengesan peluru berpandu yang disasarkan ke UK.
Jabatan Negara AS berkata, kerajaan UK meminta untuk membeli radar pertahanan peluru berpandu balistik dan peralatan pakar yang akan meningkatkan keupayaan negara ini dalam mengesan peluru berpandu.
Sehubungan itu, seorang pegawai AS yang enggan mendedahkan identitinya tidak menolak kemungkinan UK yang akan bertindak sebagai penjamin keselamatan Ukraine.
“Perkara itu menjadi subjek perbincangan mendalam dengan rakan negara antarabangsa lain.
“Syaratnya sangat penting sebelum sesiapa boleh berkata ya atau tidak,” katanya.
USAHA DIPLOMATIK
Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, UK belum menerima sebarang ‘permintaan rasmi’ daripada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk menjadi pelindung negara berkenaan.
Jelasnya, negara itu akan tetap menyokong Zelensky dan Ukraine bagi mencapai penyelesaian diplomatik seperti yang diharapkan.
“Secara jelas langkah pertama yang perlu dilakukan adalah gencatan senjata. Namun, kami belum melihat sebarang petanda mengenai langkah itu,” katanya.
Ukraine tidak menyatakan terma ‘jaminan keselamatan’ yang dicarinya.
Namun, perunding utamanya, Mykhailo Podolyak mencadangkan negara-negara lain memberi jaminan akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku pencerobohan Rusia pada masa akan datang.
Sedangkan, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebelum ini enggan mengambil langkah yang berisiko mencetuskan perang dunia.
Jelasnya, sebarang perjanjian perlu dimeterai secara sah yang ditandatangani oleh rakan kongsi antarabangsa yang ‘tidak akan berpeluk tubuh sekiranya berlaku serangan ke atas Ukraine’ pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Rusia dan Ukraine dilihat akan mengadakan rundingan damai secara serius, namun, memberi peringatan terdapat ‘jurang yang besar antara kedudukan mereka’.
Johnson dijadualkan mengadakan pertemuan bersemuka dengan Presiden AS, Joe Biden semasa sidang kemuncak NATO, minggu depan.
RUSIA MAKIN LEMAH?
Zelensky dikatakan semakin berharap rundingan damai akan berjaya kerana maklumat perisikan memberitahu Putin hanya membuat serangan kecil tanpa kejayaan strategik besar.
Rusia juga dikatakan tidak dapat melancarkan serangan habis-habisan ke atas Kyiv kerana tenteranya lemah semangat, jumlah korban meningkat serta terperangkap di luar ibu negara Ukraine.
Penganalisis perisikan pertahanan Britain juga meramalkan Rusia terpaksa mengalihkan ‘sebilangan besar’ tentera untuk mempertahankan talian bekalannya daripada meneruskan serangan di Ukraine.
“Masalah logistik terus melanda tentera Rusia seperti kekurangan kawalan udara serta keperluan asas seperti makanan dan bahan api.
“Masalah itu ditambah dengan serangan balas Ukraine berterusan sehingga memaksa Rusia mengalihkan sejumlah besar tentera untuk mempertahankan talian bekalan mereka sendiri.
“Keadaan ini sudah tentu mengehadkan potensi serangan Rusia,” jelasnya. – REUTERS/AGENSI