RIYADH: Amerika Syarikat (AS) dan Britain terus meningkatkan tekanan terhadap Arab Saudi untuk mendapatkan lebih banyak bekalan minyak, selain mempengaruhi negara itu untuk memulaukan Rusia.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengunjungi Arab Saudi kelmarin, sehari selepas penasihat keselamatan AS, Brett McGurk tiba ke negara ini bersama delegasinya.
Arab Saudi dan jirannya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menolak permintaan Barat untuk mengeluarkan lebih banyak minyak mentah bagi meredakan lonjakan harga bahan itu sebelum ‘terperangkap’ dalam pakatan OPEC+ dengan Rusia dan negara lain.
Menurut sumber, McGurk dan delegasinya bertemu dengan pegawai kanan Arab Saudi untuk mendesak mereka mengeluarkan lebih banyak minyak dan mencari penyelesaian politik untuk menamtkan perang di Yaman.
Dalam pada itu, Johnson pula menyifatkan Arab Saudi dan UAE sebagai rakan kongsi antarabangsa utama dalam usaha menyingkirkan dunia daripada penguasaan hidrokarbon Rusia.
Selain itu, kedua-dua negara itu juga dikatakan boleh mengukuhkan tekanan dan desakan Barat kepada Presiden Vladimir Putin.
Namun, hasrat itu mungkin terpaksa dilupakan oleh Britain dan Eropah.
Menurut penganalisis politik UAE, Abdulkhaleq Abdulla berkata, Johnson akan pulang ke Britain dengan ‘tangan kosong’.
Telahan Abdullhaleq menjadi kenyataan apabila Johnson gagal meyakinkan Arab Saudi untuk membekalkan lebih banyak minyak selepas beliau kembali semula ke United Kingdom.
Sementara itu, kerajaan Arab Saudi sehingga kini belum mengulas mengenai lawatan AS dan Britain.
Arab Saudi juga dilihat tidak menunjukkan sebarang isyarat untuk meninggalkan pakatan bekalan minyak yang dibentuk antara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya termasuk Rusia. – REUTERS