FRANKFURT: Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock menyifatkan langkah pemboikotan pembelian minyak dari Rusia hanyalah sia-sia.
Baerbock berkata, hal itu kerana langkah tersebut tidak dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.
“Tiada gunanya jika dalam masa tiga minggu akan datang, kita sedari bahawa bekalan minyak semakin terhad dan terpaksa memikirkan semula sekatan ini,” katanya dalam satu temubual dengan penyiar awam Jerman.
Dalam temubual berasingan, Baerbock berkata, Jerman sedia membayar `harga ekonomi yang tinggi’ sekiranya negara itu atau Eropah terputus bekalan elektrik dalam masa singkat.
Dilaporkan, Jerman bergantung pada bahan api fosil Rusia dengan mengimport kira-kira 55 peratus gas serta 42 peratus minyak dan arang batu.
Sementara itu, Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner juga mengakui berasa skeptikal terhadap sekatan minyak dari Rusia.
“Kita tidak seharusnya mengehadkan keupayaan untuk menyara diri,” katanya kepada akhbar Bild.
Beliau mencadangkan pemimpin dari negara G7 mengenakan sekatan pada oligarki yang menjadi kaya di bawah kepimpinan Presiden, Vladimir Putin.
Baerbock dan Lindner memberi amaran berhubung langkah pemboikotan import tenaga Rusia ketika negara Barat berusaha mencari cara untuk mengetatkan sekatan di Moscow disebabkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menggesa sekutu Barat untuk mengenakan sekatan tambahan terhadap Moscow termasuk memboikot sektor minyak dan gas.
Semalam, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, AS dan Eropah `sedang aktif berbincang’ menyasarkan bahan api fosil Rusia ketika perang semakin sengit. – AFP