RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman memberi gambaran Israel ‘berpotensi untuk menjadi sekutu’ negara ini, selain mahu menyelesaikan konflik Israel dengan Iran.
Beliau membuat kenyataan itu menerusi satu wawancara dengan majalah The Atlantic.
“Arab Saudi berharap konflik antara Israel dan Palestin dapat diselesaikan segera.
“Negara ini tidak melihat Israel sebagai musuh, namun sebagai potensi sekutu dengan pelbagai kepentingan yang boleh diterajui bersama.
“Namun, beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum kita tiba ke arah itu,” katanya.
Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun beberapa negara Teluk iaitu Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalin hubungan normalisasi dengan Tel Aviv.
Normalisasi itu mencetuskan kemarahan banyak negara Islam, terutamanya Palestin yang menyifatkannya seperti ‘tikam dari belakang’.
Dalam pada itu, hubungan tegang Israel dengan Iran dilihat semakin reda menerusi beberapa rundingan yang diuruskan oleh Iraq.
“Israel dan Iran adalah jiran dan adalah lebih baik sekiranya mereka mencari penyelesaian untuk hidup bersama.
“Menerusi hubungan yang baik, kita boleh mencipta masa depan lebih cerah,” ujar Mohammed.
Arab Saudi sebelum ini berulang kali menegaskan negara itu akan berpegang kepada pendirian Liga Arab untuk tidak menjalin hubungan rasmi dengan Israel sehingga konflik dengan Palestin diselesaikan.
Namun, Mohammed dilihat bersikap terbuka berbanding bapanya, Raja Salman Abdulaziz al-Saud. – AFP










