JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia optimis varian SARS-CoV-2 B.1.1.529 Omicron BA.2 yang disebut sebagai ‘Omicron senyap’ atau ‘Son of Omicron’ tidak akan mengancam penduduk ketika musim perayaan Aidilfitri.
Lapor CNN Indonesia, pihak kementerian menzahirkan keyakinan selepas BA.2 tidak menunjukkan lonjakan kes yang signifikan di negara ini, berbanding varian sebelumnya.
Setiausaha Jabatan Kesihatan Awam, Siti Nadia Tarmizi berkata, kes varian Omicron BA.2 di Indonesia sudah hampir mencecah 500 kes.
Namun, katanya, varian Omicron BA.3 belum dikesan di Indonesia setakat ini.
“Varian BA.2 yang sudah dikesan adalah sebanyak 478 kes. BA.1 (5,300) dan BA.1.1. (1,833) dan varian BA.3 belum ditemukan,” jelasnya.
Menurut Nadia, sehingga kini lebih 50 negara melaporkan penemuan varian BA.2 seperti Brunei, Bangladesh, India dan China.
Namun, katanya, peningkatan kes tidak begitu signifikan seperti varian Omicron muncul buat pertama kali.
Beliau juga optimis program vaksinasi Covid-19 sehingga suntikan dos penggalak mampu mengekang penularan varian Omicron BA.2 yang dipercayai lebih cepat menular sebanyak 30 peratus berbanding Omicron lain.
“Kita cukup optimis kerana trend selama dua minggu menunjukkan kes baharu masih menurun. Hanya beberapa wilayah di luar Jawa-Bali masih berlaku peningkatan kes,” katanya.











