MOSCOW: Beberapa pempengaruh media sosial Instagram warga Rusia menyuarakan rasa sedih selepas akaun mereka tidak lagi boleh diakses akibat disekat susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Lapor The Guardian, seorang blogger fesyen, Karina Nigay yang mempunyai hampir tiga juta pengikut di platform media sosial itu antara influencer yang terjejas.
“Ini (Instagram) adalah hidup saya, inilah periuk nasi saya selama lima tahun lalu. Saya berasa amat kesal dan tidak dapat menerima perubahan ini,” katanya sambil menitiskan air matanya.
Jumaat lalu, pendakwa raya Rusia mendesak akses Instagram disekat selepas syarikat Meta melonggarkan beberapa dasar berhubung ucapan kebencian terhadap tentera Moscow dan Presiden Vladimir Putin di negara tertentu susulan pencerobohan ke atas Ukraine.
Bagaimanapun, Meta menjelaskan garis panduan syarikat itu yang menyatakan ‘seruan untuk kematian ketua negara’ sudah diharamkan.
Isnin lalu, platform Instagram yang popular dalam kalangan anak muda warga Rusia tidak lagi boleh diakses oleh mereka.
Seorang lagi personaliti media sosial Instagram, Karina Istomina mengakui hampir separuh hasil pendapatannya datang melalui pengiklanan di platform tersebut.
“Saya berasa amat kecewa kerana kehilangan halaman di Instagram yang dikendalikan lebih 10 tahun.
“Kemungkinan besar saya perlu mencari sumber pendapatan baharu selepas ini,” kata Istomina yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di platform itu.
Langkah menyekat Instagram dibuat selepas aplikasi itu muncul sebagai antara platform terakhir untuk warga Rusia menyuarakan bantahan mereka terhadap pencerobohan ke atas Ukraine.