21 terkorban dalam serangan udara di Sumy, Ukraine - Utusan Malaysia

21 terkorban dalam serangan udara di Sumy, Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Sekurang-kurangnya 21 orang termasuk dua kanak-kanak terkorban dalam serangan udara di bandar Sumy, Ukraine.

Menurut pihak berkuasa, Sumy merupakan antara bandar ditetapkan untuk koridor kemanusiaan.

Laluan koridor dari Sumy ke Poltava diwujudkan untuk memindahkan orang awam termasuk rakyat China, India dan warga asing.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk mendakwa Rusia merancang untuk menganggu laluan tersebut.

Pasukan penyelamat Ukraine berkata, serangan udara di Sumy, berhampiran sempadan Rusia di timur Kyiv, berlaku pada lewat semalam.

“Pesawat musuh secara licik menyerang bangunan pangsapuri,” katanya menerusi Telegram selepas tiba di lokasi kejadian pada pukul 11 malam (waktu tempatan).

Sumy, kira-kira 350 kilometer (km) timur Kyiv mengalami pertempuran sengit selama beberapa hari, namun tiada butiran lanjut mengenai serangan itu didedahkan.

Sementara itu, Vereshchuk berkata, Kementerian Pertahanan Rusia bersetuju untuk membuka koridor kemanusiaan pada Selasa.

Katanya, persetujuan itu dinyatakan dalam satu surat kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

“Kami mendapat maklumat bahawa pihak Rusia merancang untuk menganggu koridor kemanusiaan itu.

“Pihak berkaitan merancang untuk memaksa orang ramai mengambil laluan lain yang tidak diselaraskan dan berbahaya,” katanya.

Tambah beliau, koridor kemanusiaan itu diwujudkan untuk mengagihkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN