MOSCOW: Rusia dilaporkan kehilangan hampir 10,000 anggota tentera dalam tempoh kurang empat minggu selepas negara ini melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.
Angka korban itu didedahkan oleh sebuah laman web pro-Rusia sebelum ditarik balik.
Rusia sebelum ini mendakwa sebanyak 498 anggota tenteranya terbunuh dalam peperangan yang berlaku dan jumlah itu dinyatakan pada 2 Mac lalu.
Berdasarkan data yang diperoleh, sehingga kelmarin, sebanyak 9,861 anggota tentera Rusia terkorban di Ukraine dengan 16,153 cedera.
Terdahulu, Ukraine meletakkan jumlah korban tentera Rusia adalah sebanyak 15,000 orang, namun jumlah itu terlalu tinggi berbanding yang dianggarkan oleh Amerika Syarikat (AS) iaitu sebanyak 7,000.
Data itu dipercayai diperoleh daripada Kementerian Pertahanan Rusia yang kemudiannya didedahkan oleh laman web Komsomolskaya Pravda sebelum ditarik balik.
Di sebalik kehilangan anggota tentera yang banyak, Rusia dilaporkan terus mara di beberapa bandar di seluruh Ukraine, menyaksikan pertempuran sengit berlaku dengan Ukraine.
Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden mendakwa Rusia bersedia menggunakan senjata biologi untuk menentang Ukraine.
“Rusia sebelum ini tuduh Ukraine mempunyai makmal biologi dan senjata kimia, maka itu menjadi petanda jelas bahawa mereka sebenarnya yang ingin menggunakan senjata berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa Rusia akan menerima akibat yang lebih berat jika menggunakan senjata kimia.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bertegas tidak akan menuruti arahan Rusia supaya meletakkan senjata dan menyerah kalah.
Sebaliknya, beliau mengulangi pendirian untuk bertemu dengan Presiden Vladimir Putin bagi mengadakan rundingan damai, sekali gus mengakhiri peperangan yang berlaku. – AFP/AGENSI