BEIJING: Sebuah zoo di China menerima kecaman selepas cuba memperdaya pengunjung dengan mempamerkan seekor anjing sebagai serigala di dalam kandang haiwan berkenaan.
Lapor Daily Star, pengunjung berasa kecewa setelah mendapati anjing peliharaan diletakkan sebagai haiwan liar di Jiufeng Forest Zoo di Wuhan, wilayah Hubei, China.
Menurut pengunjung, anjing itu sedang berbaring di dalam kandang yang mempunyai papan tanda merujuk kepada serigala.
“Para pengunjung memberitahu haiwan itu kelihatan sunyi dan berada dalam kandang dengan papan tanda tertera Canis lupus yang merupakan nama spesies serigala Eurasia.
“Namun, haiwan di dalam kandang itu tidak kelihatan langsung seperti dinyatakan pada papan tanda tersebut,” jelas laporan itu.
Setelah aduan dibuat, pihak pengurusan zoo mendakwa ada serigala di kandang tersebut namun ia jarang muncul kerana ditinggalkan oleh kumpulan haiwannya.
Malah, pihak pengurusan zoo juga mendakwa meletakkan anjing peliharaan itu untuk menemani serigala tersebut.
“Ia merupakan anjing betina dan sudah menjadi kawan baik serta peneman bagi serigala yang kesepian sejak kehilangan kumpulannya.
“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana ia tidak mendatangkan bahaya kepada anjing itu.
“Sebenarnya, anjing itu mendominasi serigala tersebut malah ia juga membenarkan haiwan peliharaan itu makan terlebih dahulu,” dakwa pihak pengurusan zoo. – AGENSI










