KYIV: Kementerian Pertahanan Ukraine mendakwa berjaya menembak jatuh salah satu kapal pengangkut tentera Moscow berhampiran Kyiv, hari ini.
Tembakan tersebut menyebabkan sebilangan besar tentera payung terjun Rusia terbunuh.
Setakat ini, Kementerian Pertahanan Rusia belum mengulas mengenai laporan tersebut.
Kementerian Pertahanan dalam catatan di Facebook memaklumkan, jet pejuang Su-27 Ukraine berjaya memintas kapal pengangkut tentera IL-76 MD Rusia sekitar pukul 12.30 pagi waktu tempatan, hari ini.
Kapal tersebut dikatakan cuba mendaratkan pasukan payung terjun di wilayah Kyiv.
Menurut spesifikasi yang dikeluarkan oleh pihak pengeluar, pesawat tersebut boleh membawa 167 tentera serta tujuh kru.
Komander Tentera Ukraine, Leftenan Jeneral Valery Zaluzhny berpuas hati kerana dapat membalas dendam bagi insiden Luhansk, pada 2014.
Zaluzhny merujuk insiden lapan tahun lalu, apabila pesawat Ukraine ditembak jatuh sehingga mengorbankan 40 anggota payung terjun dan sembilan anak kapal.
Sementara itu, Jurucakap Tentera Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov mendakwa tentera Moscow tidak mengalami sebarang kecederaan semasa pencerobohan itu.-BBC









