ANKARA: Turki dilaporkan belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menghalang atau membenarkan kapal perang Rusia melalui selat Bosphorus dan Dardanelles untuk masuk ke Laut Hitam.
Sebelum ini, Ukraine meminta kerajaan Turki supaya menutup laluan di kedua-dua selat berkenaan untuk menghalang kemaraan tentera Rusia.
Namun, menerusi laporan yang dipetik dari agensi berita Rusia, Tass, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Turki sudah pun bersetuju menutup kedua-dua selat berkenaan.
Zelensky turut memuat naik video menerusi Telegram mengucapkan terima kasih kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kerana menutup laluan tersebut.
“Terima kasih diucapkan kepada Recep Tayyip kerana menyokong kedaulatan Ukraine. Kami (Ukraine dan Turki) bersetuju untuk menutup laluan kepada kapal perang Rusia di Laut Hitam,” kata Zelensky menerusi video tersebut.
Terdahulu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menegaskan Turki tidak boleh menghalang kapal perang Rusia daripada melalui Laut Hitam dengan menggunakan dua selatnya.
Katanya, Rusia mempunyai hak di bawah Persidangan Montreux 1936 untuk menggunakan Laut Hitam untuk pulang semula ke pangkalannya.
“Jika Turki menerima permintaan Ukraine untuk menutup laluan kepada kapal Rusia, kami hanya boleh menghalang Rusia daripada bergerak ke arah lain, iaitu jauh dari pangkalan mereka ke Mediterranean.
“Namun, jika negara yang terlibat dalam perang membuat permintaan untuk pulang ke pangkalan mereka, maka perkara itu perlu dibenarkan,” katanya.
Turki masih menilai sama ada krisis yang berlaku di Ukraine ketika ini boleh disifatkan sebagai peperangan atau sebaliknya.