NUKU’ALOFA: Tonga akan melaksanakan perintah berkurung bermula hari ini bagi membendung penularan Covid-19.
Tindakan itu diambil selepas Tonga mengesan dua kes Covid-19 membabitkan penularan tempatan sejak bermulanya pandemik tersebut.
Lapor Al Jazeera, Perdana Menteri, Siaosi Sovaleni berkata, perintah berkurung itu berkuat kuasa pada pukul 6 petang (waktu tempatan).
Sebelum ini, negara kepulauan Pasifik itu menerima bantuan daripada sebuah kapal Australia yang mana kes Covid-19 dikesan.
Dua kes Covid-19 yang dilaporkan merupakan antara 50 individu yang diuji positif jangkitan virus itu selepas mengendalikan barangan bantuan di pelabuhan.
“Buat masa ini apa yang paling penting adalah menghentikan penularan virus.
“Itu sebab kita perlu melaksanakan perintah berkurung,” kata Sovaleni.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Saia Piukala berkata, dua lelaki yang dijangkiti Covid-19 bekerja di Queen Salote Wharf di Nuku’alofa.
Katanya, mereka tidak menunjukkan sebarang gejala virus itu. – AGENSI