KYIV: Datuk Bandar di barat Lviv berhampiran sempadan Poland, memaklumkan tentera Ukraine berjaya menangkis serangan tentera Rusia ke atas bandar itu.
Andrey Sadovyi dalam aplikasi Telegram berkata, Rusia mendaratkan kira-kira 60 tentera dan tiga helikopter di Brody, iaitu sebuah bandar kecil kira-kira 90 kilometer dari pusat bandar ketujuh terbesar di Ukraine.
“Angkatan tentera berdepan serangan penceroboh! Kami berjaya mengawal keadaan,” katanya.
Sehingga kini, kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan, kebanyakan pertempuran tertumpu di timur, utara dan selatan Ukraine.
Serangan di Ukraine memasuki hari ketiga hari ini, dan berlaku pertempuran antara tentera Kyiv dan Moscow di kawasan ibu negara, tengah malam tadi.
Tentera Ukraine memaklumkan pihak mereka berjaya mengusir tentera Rusia berdekatan kem pangkalan di sekitar jalan bandar utama.
Beberapa blok di sebuah apartment di Kyiv turut mengalami kerosakan akibat serangan tentera Rusia.
Kementerian Kesihatan Ukraine memaklumkan seramai 198 rakyat negara itu terbunuh termasuk dua kanak-kanak dan lebih 1,000 orang tercedera.