KYIV: Tentera Rusia dilaporkan semakin pantas bergerak ke ibu negara Ukraine di Kyiv dan bilangan anggota tentera terus bertambah ke negara itu.
Seorang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang enggan namanya disiarkan berkata, setakat ini, Rusia telah melancarkan lebih 160 peluru berpandu ke Ukraine.
Tentera Ukraine pula berkata, tentera Rusia berhasrat menyekat Kyiv dengan mewujudkan koridor darat di pantai selatan menuju ke semenanjung Crimea dan wilayah Transdniestria Moldova.
Tentera Ukraine terpaksa bertempur dengan tentera Rusia dari tiga penjuru, selepas Moscow melancarkan serangan melalui darat, laut dan udara.
Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 100,000 rakyat Ukraine melarikan diri dari rumah mereka dan ribuan yang lain menyelamatkan diri ke negara seberang terutamanya di Romania dan Moldova.
Dalam pada itu, Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berkata, AS dan sekutunya akan bertindak balas terhadap keputusan Vladimir Putin menyerang Ukraine.
Jelasnya, Washington dan negara lain akan ‘bersatu dengan segala kekuatan yang dimiliki’.
“Rusia akan menerima serangan yang teruk serta ekonomi, diplomatik dan strategik mereka akan lumpuh.
“Semua rakyat AS berdia untuk keselamatan rakyat Ukraine,” tegasnya.-AGENSI

								
											








