WASHINGTON: Rusia dilaporkan sudah menempatkan kira-kira 70 peratus anggota tenteranya yang dipercayai akan digunakan untuk melancarkan serangan skala besar terhadap Ukraine.
Dalam tempoh dua minggu lalu, jumlah kumpulan taktikal batalion Rusia di sempadan negara itu dengan Ukraine meningkat dari 60 ke 83 dengan 14 lagi dalam proses transit, menurut penilaian yang dilakukan oleh agensi perisikan Amerika Syarikat (AS).
Kemuncak penempatan anggota tentera Rusia dijangka berlaku pada 15 Februari ini dan keadaan itu boleh berterusan sehingga penghujung Mac.
Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan jalan diplomasi yang diusahakan pelbagai pihak untuk meredakan ketegangan Ukraine-Rusia seperti tidak berhasil.
Rusia sebelum ini didakwa menempatkan lebih 100,000 anggota tentera di kawasan sempadan dan berulang kali menegaskan tidak mempunyai perancangan untuk menawan Ukraine.
Washington pula percaya Rusia mungkin mengambil alternatif lain berbanding pencerobohan skala besar dan tidak yakin Presiden Vladimir Putin sudah membuat keputusan akhir.
Agensi perisikan negara ini memberi gambaran, Kyiv boleh jatuh ke tangan Moscow dalam tempoh beberapa hari sekiranya Rusia benar-benar menyerang Ukraine.
Selain itu, tindakan tersebut hanya menyebabkan Ukraine berdepan dengan jumlah kematian yang besar iaitu antara 5,000 hingga 25,000 (anggota tentera) dan 25,000 hingga 50,000 (penduduk awam). – REUTERS