MOSCOW: Polis di Rusia menahan lebih 2,000 penunjuk perasaan protes anti-perang di seluruh negara.
Lapor Al Jazeera, perkara itu diumumkan oleh sebuah badan pemantau bebas, pada hari keempat pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine.
Menurut OVD-Info, seramai 2,114 penunjuk perasaan ditahan semalam.
Penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan penunjuk perasaan yang ditahan sejak Khamis lalu, adalah 5,250 orang.
Polis anti rusuhan dikerahkan ke Moscow untuk mengawal penunjuk perasaan yang rata-rata membawa sepanduk tertera tanda keamanan dan slogan anti-perang dalam bahasa Rusia dan Ukraine.
Seorang wartawan saluran televisyen, Dozhd juga ditahan ketika protes itu walaupun selepas menunjukkan akreditasi media kepada polis.
Ratusan penunjuk perasaan anti-perang berhimpun di luar bangunan Gostiny Dvor di pusat bandar Saint Peterburg.
Penunjuk perasaan masing-masing memegang tangan sesama mereka sambil melaungkan slogan membantah pencerobohan Rusia. – AGENSI