Rusia dibanjiri demonstrasi bantah perang di Ukraine

Rusia dibanjiri demonstrasi bantah perang di Ukraine

ANGGOTA polis menahan seorang penunjuk perasaan yang membantah peperangan di Ukraine ketika menyertai demonstrasi di Moscow, Rusia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Polis Rusia menahan lebih 1,700 penunjuk perasaan antiperang di puluhan bandar utama yang berhimpun dan berarak bagi membantah tindakan Presiden Vladimir Putin menyerang Ukraine.

Penduduk di Moscow sedang ‘lena diulit mimpi’ ketika Putin mengarahkan pasukan tenteranya menyerang Ukraine pada awal pagi Khamis lalu.

Kremlin sebelum ini yakin penduduk Rusia akan menyokong peperangan itu kerana beranggapan ‘pentadbiran junta di Kyiv’ perlu dihentikan segera.

Namun, keadaan menjadi sebaliknya apabila pelbagai pihak termasuk golongan kenamaan menentang peperangan itu dan ribuan penduduk Rusia memenuhi jalan-jalan utama bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap situasi yang berlaku.

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul berhampiran Dataran Pushkin di tengah Moscow, manakala 1,000 lagi berhimpun di Saint Petersburg.

Pihak berkuasa menahan hampir 1,700 peserta demonstrasi di 53 bandar dengan lebih 900 ditahan di Moscow dan 400 di Saint Petersburg.

Di Moscow, penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Katakan tidak kepada peperangan’ dan slogan itu turut dicat di pintu depan bangunan Parlimen Rusia.

“Saya amat terkejut dengan serangan Rusia di Ukraine. Keluarga saya berada di sana. Apa yang boleh saya cakap kepada mereka? Adakah saya perlu suruh mereka bertenang sedangkan negara diserang? Kata Anastasia Nestulya, 23, di Moscow.

Seorang lagi penduduk Rusia, Svetlana Volkova pula menyifatkan kerajaan negara ini ‘sudah gila’.

“Ramai yang takut untuk sertai tunjuk perasaan kerana mereka terpengaruh dengan propaganda yang dibuat kerajaan,” ujarnya.

Ada juga penunjuk perasaan menjerit meminta pihak berkuasa Putin dan bukannya mereka.

Sementara itu, beberapa negara lain di seluruh dunia turut melancarkan protes menentang tindakan Rusia, termasuk Amerika Syarikat, Britain sehingga ke Tokyo, Jepun. – REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN