OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19 namun berada dalam keadaan baik.
Trudeau bagaimanapun berkata, beliau akan terus bekerja dari rumah sambil mematuhi garis panduan kesihatan awam.
Memetik laporan Canadian Press, pemimpin itu menjalani kuarantin pada minggu lalu selepas salah seorang anaknya diuji positif Covid-19.
Namun, ujian pantas Covid-19 yang dilakukannya ketika itu menunjukkan keputusan negatif.
“Saya diuji positif Covid-19, saya berasa baik dan akan terus bekerja dari rumah pada minggu ini,” kata Trudeau menerusi satu ciapan di Twitter.
Trudeau tidak menghadiri sidang Parlimen yang dibuka semula semalam selepas cuti musim sejuk akibat jangkitan itu.
Beliau berhasrat mengikuti sidang tersebut secara maya.
Sebelum ini, Trudeau pernah menjalani kuarantin selama dua minggu pada Mac 2020 selepas isterinya, Sophie diuji positif Covid-19.
Sejak beberapa bulan lalu, beberapa menteri Kabinet di Kanada termasuk Menteri Luar, Melanie Joly juga dijangkiti Covid-19. – REUTERS