NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi menawarkan usaha perdamaian melibatkan krisis di Ukraine yang semakin meruncing.
Pemimpin itu menyuarakan hasrat berkenaan menerusi panggilan telefon dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, baru-baru ini.
Kerajaan India dalam kenyataan menyatakan, Modi meluahkan kesedihan mendalam mengenai kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda akibat konflik yang berterusan di Ukraine.
Malah, jelas kenyataan itu, Modi mengulangi gesaannya agar keganasan dihentikan serta-merta dan pihak berkaitan perlu kembali mengadakan rundingan.
Menurut kenyataan itu, Modi memaklumkan India bersedia ‘menyumbang dalam apa jua cara sekalipun ke arah mencapai usaha damai’.
Tambah kenyataan tersebut, Zelensky turut menerangkan kepada Modi mengenai situasi konflik semasa di Ukraine.
Modi juga membangkitkan isu keselamatan rakyat India khususnya pelajar yang terkandas di Ukraine dan meminta bantuan untuk memindahkan mereka ke tempat selamat.
Dalam pada itu, India menghantar pasukannya ke Poland, Hungary dan Romania bagi memindahkan rakyatnya terkandas, yang diminta untuk ke negara-negara jiran Ukraine.
Sebuah pesawat India yang membawa kira-kira 200 pelajar yang dipindahkan dari Ukraine melalui Romania, tiba di Mumbai, kelmarin.
Jumaat lalu, India bersama China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memilih untuk berkecuali dalam undian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Tindakan India mengundang kritikan di Barat namun menerima pujian dari Rusia yang sudah lama menjalin hubungan pertahanan dengan negara tersebut.
Kedutaan Rusia di New Delhi menerusi ciapan di Twitter menyatakan pihaknya menghargai kedudukan `bebas dan seimbang’ India dalam undian tersebut.
India bergantung pada sokongan dan kuasa veto Rusia dalam Majlis Keselamatan PBB membabitkan pertikaiannya dengan Pakistan berhubung isu Kashmir. – REUTERS