Phuket mahu isytihar endemik Covid-19

Phuket mahu isytihar endemik Covid-19

SEKUMPULAN pelancong bergambar di Pulau James Bond di Teluk Phang Nga di Phuket, Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHUKET: Pihak berkuasa di Phuket berhasrat untuk menjadikan wilayah ini sebagai yang pertama mengisytiharkan endemik Covid-19 di Thailand.

Lapor Bangkok Post, Timbalan Gabenor Phuket, Pichet Panapong berkata, status endemik bakal membolehkan pihak berkuasa tempatan memulihkan semula ekonomi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, pihak berkuasa kesihatan Phuket juga bercadang untuk berhenti mengeluarkan laporan kes jangkitan harian, sebaliknya hanya melaporkan kes melibatkan jangkitan tahap sederhana dan serius.

“Phuket amat berbesar hati untuk menjadi wilayah Thailand yang pertama mengisytiharkan endemik.

“Saya berharap langkah ini dapat membantu mengurangkan kebimbangan pelbagai pihak mengenai virus maut dan menumpukan tumpuan pemulihan ekonomi,” katanya.

Menurut Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan Thailand, sebuah wilayah itu boleh mengisytiharkan endemik Covid-19 sekiranya kes jangkitan harian tidak melebihi 10,000 kes sehari, kadar kematian tidak melebihi 0.1 peratus dan lebih 80 peratus golongan berisiko sudah mendapatkan sekurang-kurangnya dua dos suntikan vaksin.

Selain itu, Pichet juga meminta tempoh kuarantin kendiri untuk pesakit Covid-19 dipendekkan dari 10 kepada 5 hari.

Katanya, sepanjang tempoh lima hari itu, pesakit dibenarkan kuarantin di rumah, di pusat kuarantin atau hospital dan selepas itu, mereka dibenarkan menjalani kehidupan seperti biasa.

Pihak berkuasa Phuket juga optimis bahawa wilayah ini selamat untuk penduduk tempatan dan golongan pelancong, selain pemakaian pelitup muka masih mandatori.

Dalam pada itu, pakar virologi, Dr. Yong Poovorawan dari Universiti Chulalongkorn memaklumkan, penularan varian Omicron boleh menyebabkan kes jangkitan di Thailand mencecah 100,000 sehari.

Jelas beliau, Thailand perlu melepasi fasa kemuncak jangkitan untuk meredakan situasi, sama seperti di Eropah sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi peraturan Covid-19 yang ditetapkan bagi mengawal jangkitan.

“Ketika ini, Thailand berdepan dengan gelombang kelima jangkitan Covid-19 dan jika boleh, saya tidak mahu melihat negara ini mengharunginya sekali lagi dalam gelombang keenam,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya