Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta

LUKISAN Three Figures yang dirosakkan oleh seorang pengawal keselamatan. - NEWSFLASH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Gara-gara terlalu bosan, seorang pengawal keselamatan bertindak merosakkan sebuah lukisan bernilai 740,000 pound (RM4.19 juta) yang dipamerkan di sebuah galeri di Rusia.

Lapor Daily Mail, pengawal keselamatan itu didapati melakar bahagian mata pada dua figura tanpa wajah dalam lukisan bertajuk Three Figures yang dihasilkan oleh artis Anna Leporskaya.

Pengawal keselamatan itu merosakkan lukisan tersebut dengan menggunakan pen, pada hari pertama bekerja di pameran seni abstrak diadakan di Pusat Galeri Yeltsin di bandar Yekaterinburg, barat Rusia.

Pusat Galeri Yeltsin memaklumkan lukisan itu dicemari oleh seorang warga emas berusia 60 tahun yang bekerja di syarikat keselamatan swasta.

Lapor Art Newspaper, dua pengunjung yang menghadiri pameran seni itu mengesan butiran tambahan pada dua figura yang terdapat dalam lukisan tahun 1930an, 7 Disember tahun lalu.

“Lukisan yang dipinjam dari Galeri Tretyakov di Moscow dirosakkan oleh pengawal keselamatan selepas dikatakan bosan hari pertama bekerja. Sejak insiden itu, dia sudah dipecat,” jelasnya.

Lukisan tersebut dihantar ke galeri Moscow keesokan harinya dan diperiksa oleh artis pemulih karya seni.

Dalam pada itu, seorang pakar di galeri Tretyakov menyatakan kesan conteng tersebut boleh dipadamkan tanpa sebarang kerosakan jangka panjang pada lukisan berkenaan.

Katanya, kerosakan pada lukisan dan kos pemulihan dianggarkan berjumlah 2,470 pound (RM13,988).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN